BANYAK persoalan yang dialami oleh para wanita yang bekerja di luar rumah, seperti bagaimana mengatur waktu untuk suami dan anak-anak hingga mengurus tugas-tugas rumah tangga dengan baik.
Ada yang boleh menikmati 'peranan berganda' itu, namun ada juga yang merasa sukar hingga akhirnya persoalan-persoalan rumit semakin berkembang dalam kehidupan sehari-hari. Jadi, jika bekerja – mendatangkan masalah yang cukup meresahkan, maka persoalannya, apakah manfaatnya jika seorang ibu pergi bekerja mencari nafkah di luar rumah?
Tulisan ini akan mengupas selintas masalah yang sering dihadapi oleh para ibu yang bekerja, dengan tidak lupa memberikan beberapa alternatif yang dapat diterapkan dalam kehidupan sehari-hari.
SUMBER MASALAH
Sejak dahulu hingga kini, persoalan yang dihadapi oleh kaum ibu yang bekerja di luar rumah tidak jauh berbeza. Berbagai-bagai halangan dan kesukaran yang mereka alami dari semasa ke semasa, berasal daripada sumber-sumber atau sebab-sebab yang sama. Faktor-faktor yang biasanya menjadi sumber persoalan bagi para ibu yang bekerja dapat dikategorikan seperti yang berikut:
1. Faktor Dalaman
Apa yang dimaksudkan dengan faktor dalaman ialah persoalan yang timbul dari dalam diri ibu itu sendiri. Ada di antara para ibu yang lebih senang jika dia benar-benar hanya menjadi suri rumah tangga, yang sehari-hari duduk di rumah dan mengatur dan menjaga rumah tangga semata-mata.
Bagaimanapun, keadaan telah 'menuntut'nya untuk bekerja, untuk membantu mendapatkan sumber kewangan keluarga. Keadaan tersebut mudah menimbulkan stress kerana bekerja bukanlah timbul daripada keinginan diri, seolah-olah tidak punya pilihan lain demi membantu ekonomi rumah tangga. Biasanya, para ibu yang mengalami masalah sedemikian, cenderung merasa amat letih (terutama secara psikologi), kerana sehari-harian 'memaksa diri' untuk bertahan di tempat kerja.
Selain itu, terdapat juga tekanan yang timbul akibat daripada pelaksanaan 'peranan berganda' (sebagai wanita berkerjaya, juga sebagai suri rumah) itu sendiri. Memang, kemampuan 'pengurusan waktu dan rumah tangga' merupakan salah satu kesukaran yang sering dihadapi oleh para ibu bekerja.
Mereka perlu memainkan peranan sebaik mungkin, baik di tempat kerja mahupun di rumah. Mereka sedar, mereka perlu menjadi ibu yang sabar dan bijaksana bagi anak-anak serta menjadi isteri yang baik bagi suami serta menjadi suri rumah tangga yang bertanggungjawab terhadap keperluan dan urusan rumah tangga. Di tempat kerja, mereka juga mempunyai komitmen dan tanggungjawab terhadap pekerjaan yang telah diamanahkan kepada mereka sehingga mereka perlu menunjukkan prestasi kerja yang baik. Sementara itu, dari dalam diri mereka juga sudah ada keinginan ideal untuk berjaya melaksanakan kedua-dua peranan tersebut secara seimbang.
Bagaimanapun, kenyataan ideal tersebut cukup sukar untuk dicapai disebabkan beberapa faktor, misalnya pekerjaan di pejabat sangat berat, sedangkan suami ketika di rumah kurang memberikan 'kerjasama' untuk sama-sama menyelesaikan tugas atau kerja rumah, manakala anak-anak juga turut menuntut perhatian.
Akhirnya, si ibu tersebut akan merasa amat letih kerana berasa dituntut untuk terus memberi dan memenuhi keperluan orang lain. Belum lagi, jika ternyata suami dan anak-anak merasa 'kurang mendapat perhatian', tidak hairanlah jika lama kelamaan dirinya mulai 'diserang' rasa bersalah, kerana merasa tidak dapat membahagiakan keluarganya.
2. Faktor Luaran
a. Sokongan Suami
Sokongan suami dapat diterjemahkan sebagai sikap-sikap penuh pengertian yang ditunjukkan dalam bentuk kerjasama yang positif, turut membantu menyelesaikan tugas rumah tangga, membantu mengurus anak-anak serta memberi sokongan moral terhadap kerjaya atau pekerjaan isterinya.
Di negara jiran, Indonesia contohnya, sikap 'outoritarian' yang sangat kuat di pihak suami, turut menjadi faktor yang membebani peranan ibu bekerja, kerana masih terdapat pemahaman bahawa lelaki tidak boleh melakukan pekerjaan wanita, apatah lagi dalam hal mengurus rumah tangga.
Menurut mereka, masalah rumah tangga adalah kewajiban sepenuhnya seorang isteri. Masalah yang kemudian timbul daripada isteri bekerja, sepenuhnya merupakan kesalahan daripada isteri dan untuk itu dia harus bertanggungjawab menyelesaikannya sendiri.
Keadaan tersebut akan menjadi sumber tekanan yang berat bagi isteri, sehingga dia juga akan sukar merasakan kepuasan dalam bekerja. Kurangnya sokongan suami membuatkan peranan si ibu di rumah juga tidak secara optimum (kerana terlalu banyak yang perlu dilakukan, sementara dirinya juga merasa letih sesudah bekerja) – akibatnya, timbul rasa bersalah kerana berasa diri bukan ibu dan isteri yang baik.
b. Kehadiran Anak
Masalah pengasuhan anak biasanya dialami oleh para ibu bekerja yang mempunyai anak kecil. Semakin kecil usia anak, maka semakin besar tahap stress yang dirasakannya.
Rasa bersalah kerana meninggalkan anak untuk seharian di tempat kerja merupakan persoalan yang sering dipendam oleh para ibu yang bekerja. Lebih-lebih lagi jika pengasuh yang ada tidak dapat dipercayai sepenuhnya, sementara tidak ada ahli keluarga lain yang dapat membantu.
c. Masalah Pekerjaan
Pekerjaan boleh menjadi sumber ketegangan dan stress bagi para ibu bekerja. Mulai daripada peraturan kerja yang 'kaku', bos yang tidak bijaksana, beban kerja yang berat, ketidakadilan yang dirasakan di tempat kerja, rakan-rakan yang sukar bekerjasama, waktu kerja yang sangat panjang, ataupun ketidakselesaan psikologi yang dialami akibat daripada masalah 'sosial-politik' di tempat kerja.
Keadaan sedemikian akan membuatkan si ibu menjadi amat letih, manakala kehadirannya amat 'dinantikan' oleh keluarga di rumah. Keletihan psikologi dan fizikal itulah yang sering membuat mereka sensitif dan emosional, baik terhadap anak-anak mahupun terhadap suami.
Keadaan ini biasanya menjadi semakin 'parah' apabila suasana di rumah tidak dapat menyokong – dalam erti kata, suami (terutamanya) dan anak-anak (yang sudah besar) kurang memberikan kerjasama untuk menjadi 'pengganti' membantu si ibu, atau sekadar meringankan kerja-kerja di rumah.
3. Faktor Hubungan
Dengan bekerjanya suami dan isteri, maka secara automatik waktu (masa) untuk keluarga menjadi singkat atau pendek. Memang tidak dapat dinafikan bebanan terhadap kerja-kerja di rumah dapat diselesaikan dengan menggunakan khidmat pengasuh serta pembantu rumah.
Bagaimanapun, terdapat perkara-perkara yang sukar dicari jalan penyelesaian seperti masalah bersama suami, juga anak-anak. Padahal, 'kebersamaan' bersama suami dalam suasana santai dan 'hangat' merupakan elemen penting yang tidak boleh diabaikan demi untuk membina, mempertahankan, dan menjaga keakraban hubungan serta keterbukaan komunikasi antara satu dengan yang lain.
Kekerapan kurangnya waktu untuk keluarga membuatkan seseorang ibu merasa dirinya tidak dapat berbicara secara terbuka dengan suaminya, bertukar fikiran, mencurahkan perasaan, atau merasa suaminya tidak lagi mengerti akan dirinya, dan akhirnya merasa asing dengan pasangan sendiri sehingga rela mengikut 'bisikan syaitan dan hawa nafsu' – mula mencari orang lain yang dianggap lebih mengerti, dan sebagainya. Secara tidak langsung, tindakan sebegini akan membawa selangkah kaki mereka ke pintu maksiat dan kemurkaan Allah.
MOTIVASI
Apakah yang sebenarnya melandasi tindakan para ibu tersebut untuk bekerja di luar rumah, atau motif-motif yang mendasari keperluan mereka untuk bekerja di luar rumah, hingga mereka mahu menghadapi berbagai-bagai risiko yang bakal dihadapi. Berikut ini adalah beberapa sebab, di antaranya:
1. Keperluan Kewangan
Seringkali keperluan rumah tangga yang begitu besar dan mendesak, membuatkan suami dan isteri harus bekerja untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan sehari-hari. Keadaan tersebut membuatkan si isteri tidak mempunyai pilihan lain kecuali turut mencari pekerjaan di luar rumah, meskipun 'hatinya' tidak ingin bekerja.
2. Keperluan Hubungan Kemasyarakatan
Terdapat juga para ibu yang tetap memilih untuk bekerja kerana mempunyai keperluan hubungan kemasyarakatan atau dan tempat kerja mereka amat memerlukan keperluan tersebut. Dalam diri mereka tersimpan suatu keperluan akan penerimaan sosial, adanya identiti sosial yang diperoleh menerusi komuniti kerja.
Bergaul dengan rakan-rakan di pejabat menjadi agenda yang lebih menyenangkan daripada tinggal di rumah. Faktor psikologi seseorang serta keadaan dalaman keluarga, turut mempengaruhi seorang ibu untuk tetap mempertahankan pekerjaan kariernya.
3. Keperluan 'Tuntutan' Diri
Abraham Maslow, pada tahun 1960, mengembangkan teori heirarki keperluan yang salah satunya mengungkapkan bahawa manusia mempunyai keperluan terhadap memenuhi kepuasan diri, dan mencari makna hidup melalui aktiviti yang dilakukannya. Bekerja adalah salah satu sarana atau jalan yang dapat digunakan oleh manusia dalam mencari makna hidup dan kehidupan.
Dengan bekerja, mencipta, mengekspresikan diri, mengembangkan potensi diri, membahagikan ilmu dan pengalaman, mencari sesuatu, menghasilkan sesuatu, serta mendapatkan penghargaan, penerimaan, prestasi – adalah sebahagian daripada proses penemuan dan pencapaian untuk memenuhi tuntutan 'kepuasan' diri. Keperluan 'tuntutan kepuasan' diri melalui kerjaya merupakan salah satu pilihan yang banyak diambil oleh para wanita pada zaman sekarang – terutama dengan kian terbukanya kesempatan yang sama pada wanita untuk meraih mecapai kerjaya yang tinggi.
Bagi wanita yang semenjak sebelum berkahwin sudah bekerja kerana didorong oleh keperluan 'tuntutan' diri yang tinggi, maka dia akan cenderung kembali bekerja setelah berkahwin dan mempunyai anak.
Mereka merasa bekerja dan pekerjaan adalah perkara yang begitu bermanfaat untuk memenuhi keperluan 'tuntutan' diri, menyokong 'sense of self' dan kebanggaan diri – selain 'berdiri di atas kaki sendiri' bagi mencari sumber kewangan.
4. Lain-lain
Dalam beberapa kes, terdapat juga ibu bekerja yang memang jauh lebih menyukai dunia pekerjaan berbanding hidup dalam keluarga. Mereka merasa lebih 'rileks' dan tenang jika berada di dalam suasana di tempat kerja daripada sehari-harian berada di rumah. Dengan kata lain, mereka bekerja agar dapat pergi dan menghindar dari keluarga.
Kes seumpama ini memang didasari oleh persoalan psikologi yang lebih mendalam, sama ada berlaku di dalam diri orang yang mengalami masalah tersebut mahupun dalam hubungan antara anggota keluarga.
MANFAAT BEKERJA BAGI WANITA
Bagaimanapun, kerja mempunyai manfaat yang positif, baik bagi si ibu bekerja mahupun bagi keluarganya. Beberapa aspek positifnya adalah seperti yang berikut:
1. Menyokong ekonomi rumah tangga
Dengan bekerjanya si ibu, bererti sumber kewangan keluarga tidak hanya satu, bahkan dua (suami danisteri). Oleh hal yang demikina itu, pasangan tersebut dapat berusaha untuk mencapai kualiti hidup yang lebih baik bagi keluarga seperti dalam hal makan minum, pendidikan, tempat tinggal, serta kemudahan kesihatan.
2. Meningkatnya harga diri dan pemantapan identiti
Bekerja, memungkinkan seorang wanita mengekspresikan dirinya sendiri dengan cara yang kreatif dan produktif untuk menghasilkan sesuatu yang dapat menimbulkan kebanggaan terhadap diri sendiri, terutama jika prestasi tersebut menerima penghargaan dan imbuhan yang positif.
Melalui bekerja, wanita berusaha mencari makna dan identiti dirinya; dan pencapaian tersebut menimbulkan keyakinan dan tinggi bagi mencapai kebahagiaan hidup.
3. Hubungan yang sihat dan positif dengan keluarga
Wanita yang bekerja cenderung mempunyai ruang lingkup yang lebih luas dan beragam, sehingga cenderung memiliki pola fikir yang lebih terbuka, lebih bertenaga, mempunyai wawasan yang luas dan lebih dinamik. Oleh hal yang demikian itu, kewujudan isteri berupaya menjadi 'partner' bagi suami untuk menjadi teman bertukar-tukar fikiran, saling berkongsi cita-cita dan harapan, pandangan dan tanggungjawab.
4. Memenuhi keperluan sosial
Setiap manusia, termasuk para ibu, mempunyai keperluan untuk menjalin hubungan sosial dengan orang lain. Dengan bekerja, seseorang wanita juga dapat memenuhi keperluan dalam suasana 'kebersamaan' dan untuk menjadi sebahagian daripada suatu kelompok atau komuniti.
Walau bagaimanapun, sosialisasi adalah penting bagi setiap orang untuk mempunyai wawasan dan cara berfikir yang luas, untuk meningkatkan 'kepekaan sosial' – dan yang terpenting, untuk dapat menjadi tempat 'pembuangan' tenaga secara positif daripada berbagai-bagai masalah yang menimbulkan stress sama ada masalah yang sedang dialami dengan suami, anak-anak mahupun dalam pekerjaan. Dengan sejenak bertemu rakan-rakan, mereka dapat saling berkongsi cerita dan masalah, juga bertukar-tukar fikiran.
5. Peningkatan 'skill' dan persaingan
Dengan bekerja, seseorang wanita dapat menyesuaikan diri dengan tuntutan, baik tuntutan tanggungjawab mahupun tuntutan persaingan.
Oleh hal yang demikian itu, seseorang wanita dituntut untuk berfikir dan bertindak secara kreatif, mencari aspek-aspek yang boleh dikembangkan demi kemajuan dirinya. Peningkatan 'skill' dan persaingan yang terus menerus akan mendatangkan 'nilai lebih' pada dirinya sebagai seorang pekerja, selain rasa percaya dan keyakinan diri yang mantap.
BEBERAPA HASIL KAJIAN
Di bawah ini dicatatkan beberapa hasil kajian berkaitan keadaan keluarga yang kedua-duanya (suami dan isteri) sama-sama bekerja.
1. Kepuasan Hidup
Kajian tentang kepuasan hidup wanita bekerja yang pernah dilakukan oleh Ferree (1976) menunjukkan bahawa wanita yang bekerja mempunyai tingkat kepuasan hidup yang lebih tinggi berbanding wanita yang tidak bekerja.
2. Kebahagiaan Perkahwinan
Hasil kajian P. Freudiger P. (1983), yang dimuatkan dalam 'Journal of Marriage and the Family', 45, 213 – 219 – tentang ukuran kebahagiaan hidup wanita yang sudah berkahwin, ditinjau daripada 3 kategori: wanita bekerja, wanita pernah bekerja, dan wanita yang tidak pernah bekerja, menunjukkan bahawa bagi para isteri dan ibu bekerja, kebahagiaan perkahwinan adalah tetap menjadi perkara yang utama berbanding dengan kepuasan bekerja.
Kajian lain yang juga kebahagiaan kehidupan para ibu bekerja, yang dilakukan oleh Walters dan McKenry (1985), menunjukkan bahawa para ibu yang bekerja cenderung merasa bahagia mereka dapat menghubung atau 'menyatupadukan' kehidupan keluarga dan kehidupan kerja secara harmoni dan seimbang.
Oleh hal yang demikian itu, apabila terdapat konflik peranan yang dialami oleh ibu bekerja, maka situasi akan memberi kesan terhadap tahap kepuasan dalam hidupnya. Perasaan bersalah (meninggalkan peranannya sementara waktu sebagai suri rumah) yang tersimpan, membuatkan si ibu tersebut tidak dapat menikmati peranannya dalam dunia kerja.
3. Sokongan Suami
Menurut kajian yang dilakukan oleh Jones dan Jones (1980), beliau mendapati bahawa sikap suami merupakan faktor yang penting dalam menentukan kejayaan 'dual-career marriage'. Suami yang merasa 'terancam' dan cemburu dengan status pekerjaan isterinya, tidak dapat bersikap toleran terhadap isteri yang bekerja.
Terdapat juga suami yang menganggap isteri yang bekerja bukanlah merupakan suatu masalah selagi isterinya tetap berupaya memenuhi keperluan suami dan anak-anak. Bahkan, ada juga suami yang menyokong kerjaya isterinya, dan turut bekerjasama dalam mengurus tugas sehari-hari di rumah.
Dalam keadaan sebegini, pada umumnya si isteri akan lebih merasakan kepuasan dan kebahagiaan dalam hidup, keluarga dan kerjayanya. Menerusi satu kajian yang dilakukan oleh Scanzoni (1980), diungkapkan bahawa perkahwinan 'dual-career' dikatakan berjaya jika di antara kedua-dua belah pihak (suami dan isteri) saling 'memperakukan' pasangannya sebagai 'partner' yang setara. Pada umumnya, mereka tidak hanya akan berkongsi dalam hal 'income', bahkan tidak 'berat tulang' untuk berkongsi urusan rumah tangga dan mengurus anak.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment